10/9/12

atas nama cinta (dan gelora nafsu yang membara)

terbaring di jalanan, merenung bintang di angkasa. agaknya sudah lama tidak aku melakukan sedemikian. terlihat berkelip bintang di awangan, bersinar megah menyinari alam. memagari bulan yang terang menyinar. kadang ku terbayang seraut wajah di balik benderangnya malam.
tapi wajah itu telah lama pergi meninggalkan aku. perginya dia kerana aku.

terkenang kembali dua tahun lalu. saat pertemuan pertama kali aku dengannya. menawan. rupawan. dan syukur tidak sawan. tiada cacat cela padanya bagiku, sungguh. ku pandang dari segenap sudut. cantik. anggun. potongan badannya tidak dapat aku nafikan. menggiurkan.

ahh. lamanya aku mengekspresikan.

gembiranya aku. setelah aku bertanyakan sedikit sebanyak soal dirinya, dia rela dibawaku pergi. alangkah gembiranya mendapat teman sebegitu rupa. lekuk badannya menawan perasaan. tak tertahan inginku ratah. namun aku bersabar. saat itu aku menumpang di teratak sahabatku.

dan sesampainya sahaja, aku terus membawanya ke ranjang. di atas, kebawah, dalam dan luar, puas ku jelajah. ahh, tidak sia-sia aku menghurungnya kemari. amat gembiranya perasaan ini. tidak ku sangka teman yang kucari mampu memuaskan keinginanku.

ya, aku masih tidak lupa lagi. 2 Disember 2010 tarikhnya. tarikh keramat penemu aku dan dia.

selang beberapa hari kemudian, entah dari mana datangnya, temanku itu jatuh dek kerana sergahan rakanku yang lainnya. berderau darahku mengalir. terasa deras pecutan adrenalin. kekasihku hampir sahaja jatuh dari tingkat empat bangunan. namun sempat ku capai, dia tersadai di hadapanku. luka di kepala dan badannya. uh, pedihnya hati ini melihat temanku ini disakiti. sedih sekali kurasakan. hampir sahaja aku ingin menjaganya dari apa jua bencana, namun takdir telah menghancurkan harapan.

tangis aku kerananya. sakitnya sakitku jua. uh.

namun dia tetap ceria. saat gembira dan dukaku. tatkala siang dan malamku. dia peneman sejati. dia pendamping abadi.

walau apa pun terjadi, dia tetap bersamaku.

hingga kini aku ke menara gading.

namun, setelah setahun lamanya, dia mula jatuh sakit. ini kerana gara-gara ku tidak meninggalkannya, saat aku berjuang mempertahankan kejuaraan, dia kecundang. dia mula tidak sedarkan diri. aku tidak tahu kenapa. apakah kerana aku menghimpitnya keras? entah. mungkin jua ya.

sebulan lamanya dia koma. akhirnya, doktor mengambil keputusan untuk membedahnya. sungguhpun perit buatku mengeluarkan belanja untuk pembedahannya, tatkala aku kekeringan punca. ibuku tidak mahu membantu, kerana ini tanggungjawabku. atas nama cinta, ku relakan segalanya, asalkan dia masih bernyawa di muka bumi ini, menemaniku hingga hari-hari terakhir nafasku.

operasi berjaya. dia kembali ceria menemaniku. tapi, sedar tak sedar, terdapat kesilapan dalam pembedahan tersebut. pandangan matanya kabur, tidak mampu melihat jelas. sarafnya terenjat, membuatkan dia tidak dapat bergerak seperti insan lainnya. tapi dia masih mengerti akan pertuturan ku padanya.

teringat saat aku membelikan pakaian untuknya. sungguh cantik. kelihatan dirinya terjaga dan terurus rapi dari sebelumnya. aku dapat merasakan cinta berahi darinya, dari setiap layanan yang diberi padaku, terserlah rasa sayangnya. bahagia terasa bagaikan syurga di dunia. ada juga aku hadiahkan pada dirinya perhiasan dan aksesori. bertambah goyah jatidiriku. biarlah, asalkan ada yang sayang.

******************

dan manusia itu cepat benar lupa.

sekali lagi ku ulangi perbuatan yang hampir meragut nyawanya. hampir sahaja aku terduduk.

sebenarnya, setelah berminggu, ia bagaikan kanser, tidak dapat dikesan di peringkat awal. saat itu, dia bagaikan rebah, disentap nyawanya. terpejam matanya, berhenti degupannya.

hilang. hilang. dia sudah hilang. pergi. pergi. pergi meninggalkanku.

walaupun dia mampu hidup dengan alat bantuan, tapi aku merelakan dia pergi.

selamat jalan kekasih.


perginya kau meninggalkan ku sepi.

Zylo. abadi dalam kenangan.

No comments:

Post a Comment