6/14/12

tenggelam dalam luka, hilang dalam derita


Aku tidak tahu menuntut ilmu amat payah begini rupa. Mungkin kerana aku telah tersalah langkah, menyelitkan niat yang tidak patutnya aku selitkan bersama demi menggali secangkir ilmu. Sekembalinya aku dari bumi permata meninggalkan luka akibatnya. Saat aku ingin menimang cahaya mata, pertolongan dari masa lampau telah meragutnya dariku, meninggalkan aku sendirian. Aku tak pasti, mungkin kerana hasratku itu terlampau menggunung, menantikan kelahiran baru menyaksikan sinar dihujung jalan tapi tidak. Apakah ini kerana aku lari dari jalan mengimpikan syurga? Aku tidak pernah melupakan syurga, walaupun dalam langkah aku menggapainya penuh onak serta duri, meninggalkan aku bersama air mata. Seinginnya aku bahagia didalamnya, sungguhpun aku tahu aku perlu menempuh jalan berliku.

Beberapa purnama lamanya, aku kembali ke bumi bernilai. Nilainya tidak seberapa, hanya sekadar tiga cupak. Dan aku kini berdiri di buminya yang baru. Dan disini juga aku tidak menyangka akan perjalanan yang bakal aku lalui.

Setibanya aku disini, aku masih belum mengerti akan kegirangan, kerana hasrat yang mendalam menjejaki syurga masih ada, walaupun jarak memisahkan. Aku tidak tahu bila dan tika mana aku terperangkap dalam kegembiraan dunia, yang juga bakal membawa kegembiraan disana, tafsirku. Dan saat itu impian aku melangkah ke syurga semakin lenyap. Aku mula menjengah kearah jendela, menyangkakan gelak tawa akan menemani. Aku juga pasti untuk menyulam kebahagiaan. Tapi dibalik sulaman itu, benangya ditetas. Lalu tajamnya tetasan itu kembali merobek luka yang hampir sembuh. Namun aku cuba memujuk hati, luka ini cuma mainan. Realitinya, hati ini semakin parah. Gembira dan tawa hanya menyemai tangis dan luka. Aku tak tahu apakah bodohnya aku menyusun langkah dibalik girangnya insan. Semakin hari senyuman semakin pudar, dek kegembiraan itu dirampas seorang penguasa, yang aku tak tahu bila waktunya ia tiba. Lalu aku cuba menyingkap kejayaan, namun disaat itu kejayaan hanya mampu menjadi rakan, saat berjayanya kejayaan berteman. Tapi aku tidak ambil cakna, kerana aku bisa menemukan kejayaan aku sendiri, walau bukan itu yang kucari.

Aku tidak tahu takdir ALLAH. Apakah rancangan serta hikmah disebaliknya juga aku masih belum tahu. Sewaktu hati ini lukanya masih segar, ALLAH kirimkan penawar buat hatiku. Ketika itu aku masih belum dapat mengubat lukaku, kerana selangkah demi selangkah aku perlu lalui untuk mendapatkan ubat dihujung sana. Alhamdulillah, berkat usaha aku berjaya mencolek sedikit untuk menutup sedikit luka. Saat itu, wujudnya penawar atas luka yang adanya pada segumpal darah yang lainnya. Aku juga merasa, mungkin penawar ini adalah ubat paling mujarab merubat hati ini. Semakin lama aku merasa semakin sembuh. Dan aku sekali lagi, mudahnya menyatakan pasti akan ini. Dan lurusnya aku akan namaku; aku berjanji bahawa aku tidak akan kembali terluka seandainya penawar ada disisi tika kembalinya aku kepada Yang Maha Pencipta.

Dan tidak kusangka, doaku seakan menjadi nyata. Segalanya umpama ditakdirkan, yang aku bakal menuju bahagia. Setiap hari aku hanya mampu tersenyum lebar. Tiap hari retinaku menerima cahayanya seterang mentari menyuluh alam. Aku saat itu hanya mampu berbisik pada hati, jangan biar kau terluka lagi. 

Namun, semakin lama, sedikit sebanyak luka lama semakin merekah. Penawar yang aku sangkakan Dia kirimkan hanya untukku, rupanya tanggappanku salah. Penawar yang ku terima rupanya mampu menimbulkan kelegaan untuk penyakit selain luka ini. Aku hanya mampu menutup luka dihati dengan sekelumit perasaan. Kadang kala luka itu memaksa aku meronta menyatakan apa yang ada dihati. Bukan aku tak mampu menyekat pedih, tapi peritnya merintih. Aku bagaikan penagih. Sedikit sebanyak sapuannya langsung tidak meninggalkan kesan.

Perbalahan perdana antara umat mula menampakkan impaknya. Aku sudah tidak mampu membeli ubatan seumpamanya. Detik demi detik, manusia sudah tahu akan mujarabnya penawar. Manusia yang punya kelebihan itu umpama memaparkan niatnya mengambil penawar itu untuk dirinya. Mungkin aku salah sangka, namun bisikan makhluk durjana sedikit sebanyak menggugat jati diri. Aku mula bersangka buruk terhadap manusia itu. Aku terpaksa berperang. Aku terpaksa menyelit benci. Aku terpaksa memarakkan amarah. Ah, mengapa Ya Tuhan?

Seminggu itu hanya membekas derita untukku. Sebatang pen melakar segala. Tapi dalam derita, bagaikan hadir seutas tali untuk mengendali aku keluar dari hiba. Aku kembali gembira. Dan dalam gembira, luka semakin pudar walau bekasnya masih nyata.

Dan sekembalinya, datang pula rencana, meminta aku menjadi bintang. Sungguhpun sebelum itu aku telahpun dilamar. Aku tak tahu mengapa, namun aku terima dengan hati terbuka. Apakah perasaan ciptaan ALLAH menyubur dalam hati? Entah, aku hanya biarkan diriku tenggelam dan hanyut didalamnya. Mungkin saat ini adalah untuk aku perbaiki segala. Aku sendiri bingung, gelak tawa kembali menghilai. Kemesraan semakin berputik. Namun ia tidak lama. Manusia berkelebihan itu seperti sengaja membawa aku kembali kedalam api. Petikan tali gitar nyaring menakluk kembali penawar yang aku bisa kembali genggam. Sungguh saat itu aku umpama tewas.

Sedikit sebanyak segalanya menjadi semakin renggang. Jahitan luka semakin terbuka. Segalanya terluah saat ia mahukan. Tapi penawar mampu memanipulasi keadaan. Sekali aku terluka, sedikit penawar disapukan. Namun ia tak kekal lama. Penawar itu umpama habis dipakai. Saat-saat seterusnya tidak lagi mampu membawa penyembuh luka. Tapi entah bagaimana, semakin lama penawar mengubat luka ini, semakin lembut jiwaku.  Aku tak mampu mengucapkan kata-kata amarah. Pada awalnya aku hanya menebalkan muka, namun dek lembutya jiwa akibatnya, lalu aku hanya mampu menelan amarah.

Tapi bagai ditakdirkan untuk aku, yang bahagia tidak akan menemaniku sepanjang masa. Aku tak tahu mengapa penawar yang ku sangkakan mampu mengubat luka, akhirnya menumbuk jiwa. Masa silamku diungkit tanpa pernah terfikir akan apa yang ku lakukan hari ini. Namun mungkin aku salah. Aku sedikit awal menduga. Apa yang mampu aku lakukan hanya melangkah pergi demi membalas tuduhan demi tuduhan, yang aku lemparkan. Aku hanya ingin tahu mengapa, dan kenapa mesranya tidak dapat dikongsi bersama aku? Mungkin selamanya aku terpaksa bertepuk sebelah tangan. Biarlah, semoga hati yang lain mampu diubat penawar itu.

Hari demi hari aku mampu terlupa, kerana aku tak mahu terluka. Aku terpaksa membenci, agar diri tak lagi disakiti. Mungkin juga takdirnya, aku akan selamanya mencari syurga, sama ada didunia mahupun disana. Moga syurga dunia mampu membawa bahagia hingga ke akhirat, walaupun berat untuk aku sendiri mengakui akan kebaikan syurga, dan teruknya aku untuk selamanya mengidamkan syurga. Tali tadi tak mampu aku genggam, kerana masih ada yang lain untuk dikendalikannya. Kini apa yang ada padaku adalah sebuah ketidaksempurnaan. Biarlah aku sendirian melayan perasaan, sungguhpun disamping teman aku mampu melakar senyuman. Aku tahu aku lemah, bantulah aku Ya ALLAH.

Semoga yang baik akan berterusan dan buruk ditinggalkan. Yang baiknya datang dari yang sempurna, dan buruk dari hambaNya.

http://shafiqolbu.wordpress.com/2012/01/26/nama-anak-yang-baik-dalam-islam/

6/6/12

study week?

huh. tinggal seminggu lagi nak mula peperiksaan. kertas pertama. cuak tak payah nak kata. tapi usaha tak kemana pun. bila balik rumah ni memang buku aku tak boleh nak hadaplah. sumpah tak masuk. aku tak boleh ulangkaji seorang diri ni. lagi-lagi bila nota berlambak depan mata. macam-macam bab ada.

tapi aku balik semalam aku ada bawa balik nota biostatistik. adalah belek-belek sikit. tapi apa aku nampak langsung tak boleh nak hadam. haromm orang kata. memang bila tak ada orang nak teman jadi susahlah. aku bukan boleh duduk seorang diri. nanti mulalah nak melingkar, lagi-lagi atas tilam. sedap mengantuk disorong bantal, memang sampai ke subuh lenanya. bila dah tidur bukan nak ingat dunia pun. sekali tidur memang tidur. esok pagilah jawabnya sambung.

malam ni pun aku tak tahu nak buat macam mana. penat pasang katil baru untuk adik aku tadi, dah pukul 11 lebih. lepak rehat kejap tengok cerita budak-budak dekat tv dah 12.30. fuhh, ikutkan hati memang nak pejam mata ni, tapi fikir balik macam mana pula periksa nanti? kalau ada isteri pun syok juga, bergurau senda sambil saling bertanya soalan. gila layan! nikmat bekeluarga begitukah? tapi aku ni hanya insan hina. yang ada dah lari entah kemana (macam dah kahwin. adoyai).

tapi tak mengapalah. mungkin tertulis yang aku hanya hidup membujang sampai lanjut usia. calon pun semua mungkin dah kahwin masa tu. tinggal aku seorang. biarlah aku berlari ke negeri matahari terbit. arigatou gozaimasu! mana tahu jodoh dengan orang mata sepet, walau pernah jumpa orang mata buntang.

biarlah. berangan sampai ke mati pun takkan sudah. padahal peperiksaan mendatang buat tak nampak pula. mencari nahas betul. tak dapat lesen gamaknya kalau keputusan macam semester lepas. argh!

p/s: minda bercelaru fikir benda lain. fiuu

6/3/12

berputar bagai roda

andai kata hidup boleh digubah macam drama.

andai kita hidup umpama pelakon di layar perak.

andai hidup kita dirangkum dalam sebuah cakera padat yang mampu dimainkan berulang kali.

andai kita mampu menulis skrip yang menjadikan hidup ini indah.

kadang aku berfikir bila hidup kita mampu dirancang sebaik mungkin dan digarap menjadi sebuah karya paling indah.

bila jalan cerita hidup mampu dilakonkan sesuka hati.

bila kehendak hati menjadi pengarah telenovela diri.



6/2/12

takziah

"Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali."
(2:156)
jam 3 lebih tadi, aku baru dapat berita, salah seorang budak batch aku meninggal akibat kemalangan. sungguh aku tak sangka. mula-mula aku buka facebook, aku terbaca dulu post seorang kawan aku ni, katanya halalkan segala makan minum arwah. aku ingat sekadar suka-suka, sebab kadang-kadang benda macam ni pun boleh dibuat gurau. tapi sungguh aku tak sangka, arwah terlebih dahulu pergi pagi tadi. aku sendiri tak tahu cerita. tapi yang aku pasti beritanya pasti benar. tak kan kita nak main-mainkan cerita kematian seseorang? 
andai diputar kembali masa, aku tak ada banyak memori atau kenangan bersama arwah, sebab arwah pindah sekolah lepas PMR. kali terakhir kami bersua muka masa tingkatan 5. masa tu ada program di sekolah arwah. tak silap aku itulah kali kedua aku jumpa arwah selepas arwah pindah sekolah, dan kali terakhir sebelum arwah meninggalkan dunia yang fana. 
sebenarnya aku tak tahu bagaimana nak mengungkapkan perasaan aku sekarang.  yang pasti semua akan diselubungi pilu bila terdengar akan berita ini. dalam keluarga aku juga pernah ada kehilangan. semasa aku darjah 3, datuk aku meninggal. aku ingat lagi. aku tak tahu apa-apa masa itu. seingat aku pernah aku mengucup dahi arwah datuk aku, dan menaburkan sedikit kunyit antara kafannya. dan sewaktu aku di tingkatan 5, arwah makcik aku dan adik sepupuku meninggal akibat kemalangan.
bahkan kita sendiri yang masih bernafas didunia ini, masih alpa akan kehidupan duniawi yang tak akan membawa kita kemana-mana. sedangkan aku sendiri lalai akan urusan aku di atas muka bumi ini. tenggelam kita dalam fatamorgana yang hanya membawa sesal di kemudian hari. renungkanlah. inSyaALLAH, mudah-mudahan roh mereka dicucuri rahmat serta diletakkan bersama golongan yang beriman. AMIIN.
selamat tinggal wahai sahabat, MUHAMMAD NOOR NAZMIN BIN NORZRI.
p/s : Al-Fatihah buat arwah serta datuk, ibu saudara serta sepupu, SHARANI BIN TAHERANG, SYAMIMI RUSYDIAH BT MOHD KHALID dan MUHAMMAD IKMAL SAFWAN.