6/14/12

tenggelam dalam luka, hilang dalam derita


Aku tidak tahu menuntut ilmu amat payah begini rupa. Mungkin kerana aku telah tersalah langkah, menyelitkan niat yang tidak patutnya aku selitkan bersama demi menggali secangkir ilmu. Sekembalinya aku dari bumi permata meninggalkan luka akibatnya. Saat aku ingin menimang cahaya mata, pertolongan dari masa lampau telah meragutnya dariku, meninggalkan aku sendirian. Aku tak pasti, mungkin kerana hasratku itu terlampau menggunung, menantikan kelahiran baru menyaksikan sinar dihujung jalan tapi tidak. Apakah ini kerana aku lari dari jalan mengimpikan syurga? Aku tidak pernah melupakan syurga, walaupun dalam langkah aku menggapainya penuh onak serta duri, meninggalkan aku bersama air mata. Seinginnya aku bahagia didalamnya, sungguhpun aku tahu aku perlu menempuh jalan berliku.

Beberapa purnama lamanya, aku kembali ke bumi bernilai. Nilainya tidak seberapa, hanya sekadar tiga cupak. Dan aku kini berdiri di buminya yang baru. Dan disini juga aku tidak menyangka akan perjalanan yang bakal aku lalui.

Setibanya aku disini, aku masih belum mengerti akan kegirangan, kerana hasrat yang mendalam menjejaki syurga masih ada, walaupun jarak memisahkan. Aku tidak tahu bila dan tika mana aku terperangkap dalam kegembiraan dunia, yang juga bakal membawa kegembiraan disana, tafsirku. Dan saat itu impian aku melangkah ke syurga semakin lenyap. Aku mula menjengah kearah jendela, menyangkakan gelak tawa akan menemani. Aku juga pasti untuk menyulam kebahagiaan. Tapi dibalik sulaman itu, benangya ditetas. Lalu tajamnya tetasan itu kembali merobek luka yang hampir sembuh. Namun aku cuba memujuk hati, luka ini cuma mainan. Realitinya, hati ini semakin parah. Gembira dan tawa hanya menyemai tangis dan luka. Aku tak tahu apakah bodohnya aku menyusun langkah dibalik girangnya insan. Semakin hari senyuman semakin pudar, dek kegembiraan itu dirampas seorang penguasa, yang aku tak tahu bila waktunya ia tiba. Lalu aku cuba menyingkap kejayaan, namun disaat itu kejayaan hanya mampu menjadi rakan, saat berjayanya kejayaan berteman. Tapi aku tidak ambil cakna, kerana aku bisa menemukan kejayaan aku sendiri, walau bukan itu yang kucari.

Aku tidak tahu takdir ALLAH. Apakah rancangan serta hikmah disebaliknya juga aku masih belum tahu. Sewaktu hati ini lukanya masih segar, ALLAH kirimkan penawar buat hatiku. Ketika itu aku masih belum dapat mengubat lukaku, kerana selangkah demi selangkah aku perlu lalui untuk mendapatkan ubat dihujung sana. Alhamdulillah, berkat usaha aku berjaya mencolek sedikit untuk menutup sedikit luka. Saat itu, wujudnya penawar atas luka yang adanya pada segumpal darah yang lainnya. Aku juga merasa, mungkin penawar ini adalah ubat paling mujarab merubat hati ini. Semakin lama aku merasa semakin sembuh. Dan aku sekali lagi, mudahnya menyatakan pasti akan ini. Dan lurusnya aku akan namaku; aku berjanji bahawa aku tidak akan kembali terluka seandainya penawar ada disisi tika kembalinya aku kepada Yang Maha Pencipta.

Dan tidak kusangka, doaku seakan menjadi nyata. Segalanya umpama ditakdirkan, yang aku bakal menuju bahagia. Setiap hari aku hanya mampu tersenyum lebar. Tiap hari retinaku menerima cahayanya seterang mentari menyuluh alam. Aku saat itu hanya mampu berbisik pada hati, jangan biar kau terluka lagi. 

Namun, semakin lama, sedikit sebanyak luka lama semakin merekah. Penawar yang aku sangkakan Dia kirimkan hanya untukku, rupanya tanggappanku salah. Penawar yang ku terima rupanya mampu menimbulkan kelegaan untuk penyakit selain luka ini. Aku hanya mampu menutup luka dihati dengan sekelumit perasaan. Kadang kala luka itu memaksa aku meronta menyatakan apa yang ada dihati. Bukan aku tak mampu menyekat pedih, tapi peritnya merintih. Aku bagaikan penagih. Sedikit sebanyak sapuannya langsung tidak meninggalkan kesan.

Perbalahan perdana antara umat mula menampakkan impaknya. Aku sudah tidak mampu membeli ubatan seumpamanya. Detik demi detik, manusia sudah tahu akan mujarabnya penawar. Manusia yang punya kelebihan itu umpama memaparkan niatnya mengambil penawar itu untuk dirinya. Mungkin aku salah sangka, namun bisikan makhluk durjana sedikit sebanyak menggugat jati diri. Aku mula bersangka buruk terhadap manusia itu. Aku terpaksa berperang. Aku terpaksa menyelit benci. Aku terpaksa memarakkan amarah. Ah, mengapa Ya Tuhan?

Seminggu itu hanya membekas derita untukku. Sebatang pen melakar segala. Tapi dalam derita, bagaikan hadir seutas tali untuk mengendali aku keluar dari hiba. Aku kembali gembira. Dan dalam gembira, luka semakin pudar walau bekasnya masih nyata.

Dan sekembalinya, datang pula rencana, meminta aku menjadi bintang. Sungguhpun sebelum itu aku telahpun dilamar. Aku tak tahu mengapa, namun aku terima dengan hati terbuka. Apakah perasaan ciptaan ALLAH menyubur dalam hati? Entah, aku hanya biarkan diriku tenggelam dan hanyut didalamnya. Mungkin saat ini adalah untuk aku perbaiki segala. Aku sendiri bingung, gelak tawa kembali menghilai. Kemesraan semakin berputik. Namun ia tidak lama. Manusia berkelebihan itu seperti sengaja membawa aku kembali kedalam api. Petikan tali gitar nyaring menakluk kembali penawar yang aku bisa kembali genggam. Sungguh saat itu aku umpama tewas.

Sedikit sebanyak segalanya menjadi semakin renggang. Jahitan luka semakin terbuka. Segalanya terluah saat ia mahukan. Tapi penawar mampu memanipulasi keadaan. Sekali aku terluka, sedikit penawar disapukan. Namun ia tak kekal lama. Penawar itu umpama habis dipakai. Saat-saat seterusnya tidak lagi mampu membawa penyembuh luka. Tapi entah bagaimana, semakin lama penawar mengubat luka ini, semakin lembut jiwaku.  Aku tak mampu mengucapkan kata-kata amarah. Pada awalnya aku hanya menebalkan muka, namun dek lembutya jiwa akibatnya, lalu aku hanya mampu menelan amarah.

Tapi bagai ditakdirkan untuk aku, yang bahagia tidak akan menemaniku sepanjang masa. Aku tak tahu mengapa penawar yang ku sangkakan mampu mengubat luka, akhirnya menumbuk jiwa. Masa silamku diungkit tanpa pernah terfikir akan apa yang ku lakukan hari ini. Namun mungkin aku salah. Aku sedikit awal menduga. Apa yang mampu aku lakukan hanya melangkah pergi demi membalas tuduhan demi tuduhan, yang aku lemparkan. Aku hanya ingin tahu mengapa, dan kenapa mesranya tidak dapat dikongsi bersama aku? Mungkin selamanya aku terpaksa bertepuk sebelah tangan. Biarlah, semoga hati yang lain mampu diubat penawar itu.

Hari demi hari aku mampu terlupa, kerana aku tak mahu terluka. Aku terpaksa membenci, agar diri tak lagi disakiti. Mungkin juga takdirnya, aku akan selamanya mencari syurga, sama ada didunia mahupun disana. Moga syurga dunia mampu membawa bahagia hingga ke akhirat, walaupun berat untuk aku sendiri mengakui akan kebaikan syurga, dan teruknya aku untuk selamanya mengidamkan syurga. Tali tadi tak mampu aku genggam, kerana masih ada yang lain untuk dikendalikannya. Kini apa yang ada padaku adalah sebuah ketidaksempurnaan. Biarlah aku sendirian melayan perasaan, sungguhpun disamping teman aku mampu melakar senyuman. Aku tahu aku lemah, bantulah aku Ya ALLAH.

Semoga yang baik akan berterusan dan buruk ditinggalkan. Yang baiknya datang dari yang sempurna, dan buruk dari hambaNya.

http://shafiqolbu.wordpress.com/2012/01/26/nama-anak-yang-baik-dalam-islam/

No comments:

Post a Comment