10/30/12

sunyi

harapan. berharap. mengharap.

ya, itulah aku. manusia yang tak pernah kenal erti lelah dalam mengharap sesuatu yang tiada harapan untuk aku yang berharap. aku semakin celaru dalam dunia mimpi yang aku cipta sendiri. umur aku baru 20, tapi kesempitan pandangan hidup membuatkan jalan dihadapan aku gelita. pelik, kan?

5 tahun aku menunggu seseorang. dari sekolah menengah, tingkatan 3. serius aku tunggu beliau, serius. tapi satu hari, di hari yang aku rasakan melepasi ulang tahun ke-5 aku menunggu beliau, ALLAH sampaikan padanya yang masa depan aku bukanlah bersama beliau. namun aku redha, aku tahu masa depan aku sememangnya amat tipis peluangnya untuk aku melafazkan akad nikah berwalikan bapanya. aku tahu, aku tahu. tapi aku? terus menagih harapan. lama kemudia, harapan itu sendiri pudar. kerana aku mengerti, Tuhan telah tetapkan qada' antara aku dan dia beliau takkan bertemu dihujung garisan benua.

dan harapan itu berpindah pada seorang gadis yang aku kenali di sini. comel-comel orangnya. jauh ke belakang aku mengintai. tersenyum aku sendirian. dan sedikit sebanyak dia membalas senyuman dan usikan serta gurauan.

entah. rasa tak nak banyak cerita. cuma aku nak cakap yang harapan itu berpindah pada dia yang juga (mungkin) berharap pada insan lain. aku tak nak bersangka buruk, aku dah cuba sedaya upaya, tapi sepertinya aku terkadang terlepas jua perasaan.

ini sahaja yang aku mampu. mohon masih ada cahaya di hadapan. aku berharap lagi. ya, aku berharap. berharap lagi dan terus berharap. aku tak berhenti berharap. tidak. sesiapa pun tidak mampu memadamkan harapan ini kecuali Dia yang membuat aku berharap.

mengapa? kenapa aku berharap? oh, hanya ALLAH yang tahu. jalan ini Dia tetapkan untukku. Tuhan Maha Mengetahui, apa yang berlaku sebelum dan selepasnya.



hei kau. kalau dia betul sukakan kau, terimalah dia.


10/18/12

teruna dan dara bercumbu halal

tiba seorang sahabat mengajukan pendapatnya tentang kahwin awal. marah nampaknya.

walaupun aku belum lagi menempuhi ranjau yang berliku itu, aku ada pendapatku sendiri.

mungkin kita melihat perkahwinan di awal usia itu sebagai suatu perkara yang akan merunsingkan pelbagai pihak. dan perkara ini setahu aku telah lama dibangkitkan sebagai isu yang boleh dikatakan agak mega di Malaysia. pusing sikit, kahwin awal. pusing banyak pun sampai balik ke isu yang sama. memang dalam negara ni keluar satu isu, datanglah beribu kilometer sekalipun, patah balik juga benda yang sama.

ya, seorang itu mungkin tidak bersedia untuk memikul tanggungjawab tersebut di usia muda, kata ibu dan ayahnya. tapi itu sebenarnya membantutkan niat seorang anak yang sudah mula untuk menjadi matang. kerana sampai bila-bila sekalipun, selagi mana ibu bapanya masih merasakan anaknya itu masih sama seperti mana yang mereka lihat ketika di tadika, sampai bila pun anak itu tidak akan keluar dari definisi keanak-anakan. kerana si anak itu sebenarnya telah tahu untuk membezakan antara yang baik dan buruk, dengan menghalalkan apa yang sepatutnya halal.

sedangkan ALLAH sendiri telah menjanjikan pertolongan untuk mereka yang bakal mendirikan rumah tangga.

`Dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu, dan orang-orang yang soleh dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurniaNya, kerana Allah Maha Luas (rahmatNya dan limpah kurniaNya), lagi Maha Mengetahui.’   (Surah An Nur, 24  :  32) 


jadi. mengapa perlu gusar? andai itu keinginan anak muda itu, maka mengapa ibu bapa tidak membantu anak terunanya? mungkin sebuah perkahwinan yang pantas itu mustahil, tapi dalam menyiapkan anak dalam menuju ke gerbangnya. bantuan kewangan itu pasti akan ada, datang sahaja dari segenap pintu rezeki, kerana itu janji ALLAH.

sedikit sebanyak, pada pandangan aku, ibu bapa kalau menghalang anaknya dari berkahwin adalah kerana tak nak menanngung kerenah anak-anak mereka dihari kemudian. serius tak salah nak kahwin awal. kadang ia kerana sterotaip masyarakat dari dahulu sehingga sekarang. kahwin awal, gatal. kahwin awal, miang. kahwin awal, sebab dah projek.


datang padanya! (baca: come on!)


mohon jangan salah faham. semuanya pendapat peribadi. aku pun tak minta berkahwin awal. tapi kalau itu yang terbaik, dan itu takdir Tuhan, maka siapakah aku untuk menolak? memikirkan calon, aku pun tak tahu. ALLAH sahaja yang tahu apa yang menanti dihujung jalan.

p/s: siap siaga itu penting.

10/16/12

jadah (?!)

keliru.

semakin hari dia mula bersikap terbuka, menceritakan akan perasaannya terhadap seorang lelaki. dan teka-teki kembali menyusup ke dalam minda. memerah otak mencari sesusuk tubuh yang berjaya menguis perasaan.

mungkin, lelaki itu seorang yang pernah mendiami hatinya sekian lalu.

hmm. kejadah semua ini. erk

ini bukan marah. ini cuma luahan. perasaan manusia itu seringkali berubah. hanya masa dan takdir ALLAH yang menentukan. sabar.

dan kalau saya menyakiti hati awak, maafkan saya. tidak langsung saya berniat.

10/13/12

pitih mung pitih ambo gop

wang. duit. pitih. rial.

apa lagi yang mengistilahkan sekeping kertas yang punya not tersendiri? apa lagi yang mampu menggambarkan sekeping besi yang punya nilai? ditukar ganti sehari-hari bagi memuaskan kehendak umat insani. segalanya perlu dibayar pada masa kini. katakanlah apa jua sekalipun yang diletakkan di suatu tempat lalu dipacakkan diatasnya kertas yang punya nombor-nombor yang mewakili harga material itu.

sedangkan pucuk paku pun ada nilai.

bayangkan. suatu hari nanti sebotol air secawan air kosong harganya mampu mencecah beringgit-ringgit. walhal masa kini telahpun merealisasikan impian saudagar-saudagar yang tamak harta. dan tamaknya mereka itu tidak lain dan tidak bukan akan dikaitkan dengan kenaikan harga barang oleh kerajaan. apa kes? air kosong bukannya letak gula. masakan tidak, tarif air di sekian negeri mungkin menindas (dan aku masih mencari relatif tarif air dengan air kosong yang kena cas sampai seringgit).

oh lari tajuk mungkin.

sekarang semua benda kena pakai duit. masuk tandas, minum air kosong, duduk kedai mamak pakai WiFi. tak kira apa saja benda yang dapat dilihat hasil autputnya akan dikomersialkan. sedangkan semudah alam sumbernya boleh didapatkan percuma boleh dinilaikan berkali ganda. maka akan dinamakanlah ia sebagai monopoli. haram tu cik kak sayang. eh.

bukan nak kata apa, wang kini bermaharajalela dalam kehidupan manusia. sampai terasa hidup ini langsung tiada yang percuma melainkan 'tester' di pasaraya yang hanya akan ada pada setiap hujung minggu. guna sikit, cas. ambil sikit, cas.

duhh. dunia ini penuh monopoli. duit sana sini. beli undi (oops).

jangan sampai satu hari nanti kau kena pijak maki sebab dalam poket sikit habuk pun tak ada.

jadi natijahnya? fikirkanlah.

10/9/12

dalam pertemuan ini



tapi pabila aku sedar diri
siapakah aku ini
aku bertanya sendiri
apakah akan terjadi...

*Dato' Siti Nurhaliza memenangi Anugerah Juara Lagu ke-11 pada 1996 melalui lagu ini, Jerat Percintaan, yang merupakan lagu single dalam album pertamanya. Juga memenangi Anugerah Lagu Balada Terbaik serta Persembahan Terbaik.

dan ku bertanya sendiri...

atas nama cinta (dan gelora nafsu yang membara)

terbaring di jalanan, merenung bintang di angkasa. agaknya sudah lama tidak aku melakukan sedemikian. terlihat berkelip bintang di awangan, bersinar megah menyinari alam. memagari bulan yang terang menyinar. kadang ku terbayang seraut wajah di balik benderangnya malam.
tapi wajah itu telah lama pergi meninggalkan aku. perginya dia kerana aku.

terkenang kembali dua tahun lalu. saat pertemuan pertama kali aku dengannya. menawan. rupawan. dan syukur tidak sawan. tiada cacat cela padanya bagiku, sungguh. ku pandang dari segenap sudut. cantik. anggun. potongan badannya tidak dapat aku nafikan. menggiurkan.

ahh. lamanya aku mengekspresikan.

gembiranya aku. setelah aku bertanyakan sedikit sebanyak soal dirinya, dia rela dibawaku pergi. alangkah gembiranya mendapat teman sebegitu rupa. lekuk badannya menawan perasaan. tak tertahan inginku ratah. namun aku bersabar. saat itu aku menumpang di teratak sahabatku.

dan sesampainya sahaja, aku terus membawanya ke ranjang. di atas, kebawah, dalam dan luar, puas ku jelajah. ahh, tidak sia-sia aku menghurungnya kemari. amat gembiranya perasaan ini. tidak ku sangka teman yang kucari mampu memuaskan keinginanku.

ya, aku masih tidak lupa lagi. 2 Disember 2010 tarikhnya. tarikh keramat penemu aku dan dia.

selang beberapa hari kemudian, entah dari mana datangnya, temanku itu jatuh dek kerana sergahan rakanku yang lainnya. berderau darahku mengalir. terasa deras pecutan adrenalin. kekasihku hampir sahaja jatuh dari tingkat empat bangunan. namun sempat ku capai, dia tersadai di hadapanku. luka di kepala dan badannya. uh, pedihnya hati ini melihat temanku ini disakiti. sedih sekali kurasakan. hampir sahaja aku ingin menjaganya dari apa jua bencana, namun takdir telah menghancurkan harapan.

tangis aku kerananya. sakitnya sakitku jua. uh.

namun dia tetap ceria. saat gembira dan dukaku. tatkala siang dan malamku. dia peneman sejati. dia pendamping abadi.

walau apa pun terjadi, dia tetap bersamaku.

hingga kini aku ke menara gading.

namun, setelah setahun lamanya, dia mula jatuh sakit. ini kerana gara-gara ku tidak meninggalkannya, saat aku berjuang mempertahankan kejuaraan, dia kecundang. dia mula tidak sedarkan diri. aku tidak tahu kenapa. apakah kerana aku menghimpitnya keras? entah. mungkin jua ya.

sebulan lamanya dia koma. akhirnya, doktor mengambil keputusan untuk membedahnya. sungguhpun perit buatku mengeluarkan belanja untuk pembedahannya, tatkala aku kekeringan punca. ibuku tidak mahu membantu, kerana ini tanggungjawabku. atas nama cinta, ku relakan segalanya, asalkan dia masih bernyawa di muka bumi ini, menemaniku hingga hari-hari terakhir nafasku.

operasi berjaya. dia kembali ceria menemaniku. tapi, sedar tak sedar, terdapat kesilapan dalam pembedahan tersebut. pandangan matanya kabur, tidak mampu melihat jelas. sarafnya terenjat, membuatkan dia tidak dapat bergerak seperti insan lainnya. tapi dia masih mengerti akan pertuturan ku padanya.

teringat saat aku membelikan pakaian untuknya. sungguh cantik. kelihatan dirinya terjaga dan terurus rapi dari sebelumnya. aku dapat merasakan cinta berahi darinya, dari setiap layanan yang diberi padaku, terserlah rasa sayangnya. bahagia terasa bagaikan syurga di dunia. ada juga aku hadiahkan pada dirinya perhiasan dan aksesori. bertambah goyah jatidiriku. biarlah, asalkan ada yang sayang.

******************

dan manusia itu cepat benar lupa.

sekali lagi ku ulangi perbuatan yang hampir meragut nyawanya. hampir sahaja aku terduduk.

sebenarnya, setelah berminggu, ia bagaikan kanser, tidak dapat dikesan di peringkat awal. saat itu, dia bagaikan rebah, disentap nyawanya. terpejam matanya, berhenti degupannya.

hilang. hilang. dia sudah hilang. pergi. pergi. pergi meninggalkanku.

walaupun dia mampu hidup dengan alat bantuan, tapi aku merelakan dia pergi.

selamat jalan kekasih.


perginya kau meninggalkan ku sepi.

Zylo. abadi dalam kenangan.